Thursday, November 29, 2018

BAB 9: PENGURUSAN TINGKAH LAKU DISIPLIN


Pendahuluan
Tingkah laku adalah apa yang dilakukan atau diperkatakan oleh seseorang individu. Tingkah laku merupakan semua tindakan manusia yang boleh diperhati, diukur, dinilai dan sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Tingkah laku adalah manifestasi fizikal sebarang sikap yang berasaskan nilai-nilai tertentu. Menurut Lewis M.Beaker (2001), sebarang perbuatan yang dilakukan sama ada secara terus atau tidak, secara sedar atau separa sedar. Manakala, tingkah laku bermasalah disebut sebagai ‘abnormal behaviour’, iaitu tingkah laku yang terkeluar dari nilai dan norma masyarakat. Konsepnya bertentangan dengan tingkah laku normal yang lazimnya dipersepsi, dirasai, dilakukan dan dialami oleh kebanyakan orang dalam masyarakat. Mohd Nazar Mohamad (1990) mentakrifkan tingkah laku bermasalah individu sebagai tingkah laku yang mengganggu perjalanan kehidupannya. Menurut Robert H. Woody di dalam bukunya yang berjudul ‘The School and the Behavior Problem Child’ menyatakan semua tingkah laku di sekolah dapat diperlihatkan dalam pelbagai bentuk dan ragam.
Faktor Pengurusan Tingkah Laku Disiplin
1.      Pentadbiran
Menurut Newman (1963), dalam bukunya yang bertajuk Administrative Action, beliau mendefinisikan pentadbiran sebagai satu bimbingan, kepimpinan dan kawalan daya usaha kumpulan pekerja kearah pencapaian matlamat. Bagi Walker (1977), mendefinisikan pentadbiran sebagai satu proses untuk menyelaraskan aktiviti-aktiviti organisasi melalui pembentukan matlamat dan polisi dan menentukan langkah-langkah yang perlu diambil untuk mencapainya.
Dalam hal pengurusan disiplin sekolah, setiap peringkat pentadbir dan guru-guru mempunyai kuasa, tugas dan tanggungjawab yang agak berbeza, tetapi saling melengkapi. Di sekolah, dengan adanya Peraturan 4 dalam Peraturan-peraturan Pelajaran Disiplin Sekolah (1959), Guru Besar sesebuah sekolah adalah bertanggungjawab atas disiplin sekolah. Sehubungan itu, beliau hendaklah mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid sekolah itu.

2.      Akta
Dalam konteks peraturan dan disiplin dalam sekolah di Malaysia adalah berdasarkan kepada tiga rujukan utama (James Ang Jit Eng, 2011). Pertama, peraturan-peraturan Pelajaran (Disiplin Sekolah) 1959, iaitu peraturan yang dibuat berdasarkan kuasa-kuasa yang diberi oleh seksyen 116, Ordinan Pelajaran 1957. Kedua, buku-buku panduan pengurusan disiplin yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. Ketiga, surat-surat Pekeliling Ikhtisas yang dikeluarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia secara berkala. Dalam konsep akta ini menekankan dan menfokuskan seksyen 116 Ordinan Pelajaran 1957.

3.      Pekeliling Ikhtisas
Pekeliling Ikhtisas merupakan satu Warta Kerajaan yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia yang diedarkan dari semasa ke semasa. Merupakan satu arahan dan garis panduan dalam melaksanakan suatu tugasan dan perkhidmatan. Merupakan satu punca kuasa yang perlu dipatuhi oleh penjawat awam. Antara tujuan Pekeliling Ikhtisas dikeluarkan adalah kerana ia merupakan satu peringatan dan langkah kawalan dan pencegahan bagi tujuan penjimatan dan salah guna dan juga merupakan satu arahan dan garis panduan dalam melaksanakan suatu tugasan dan perkhidmatan serta sebagai satu peraturan dan perlindungan. Antara sasaran Pekeliling Ikhtisas adalah kepada pelajar, guru, pentadbir (sekolah,PPD,JPN) dan ibu bapa.

4.      Pembentukan Peraturan Sekolah
Peraturan sekolah merupakan suatu persetujuan yang dipersetujui bersama oleh warga sekolah dalam mengawal disiplin dan tingkah laku manusia yang berada di dalamnya. Istilah peraturan dapat didefinisikan sebagai undang- undang yang ditetapkan untuk menentukan ketenteraman, keharmonian dan kelicinan perjalanan aktiviti- aktiviti dalam masyarakat atau sekolah. Tujuan peraturan ini dibuat adalah bagi mengawal tingkah laku disiplin dan melicinkan perjalanan kehidupan warga sekolah supaya proses pembentukan jati diri dan pendidikan berjalan lancar tanpa wujud sebarang gangguan. Setiap pelajar dan guru dibekalkan buku peraturan sebagai panduan dalam mematuhi peraturan sekolah.


5.      Data dan Rekod
Menurut Hoffer (2005), data merupakan sesuatu yang mewakilkan objek dan peristiwa yang mewakili erti dan sangat penting bagi pengguna. Manakala, Navatha dan Elmasri (2000) pula menyatakan data ialah fakta yang dapat disimpan dan memiliki erti. Secara umumnya, dapat disimpulkan bahawa data ialah fakta mentah mengenai sesuatu benda, orang, peristiwa atau persekitaran yang belum diproses dan boleh menjadi sesuatu yang bermakna atau tidak bermakna sehingga fakta tersebut diproses. Bagi istilah rekod pula, menurut Akta Arkib Negara (2003), “Rekod ditafsirkan sebagai suatu bahan dalam bentuk bertulis atau bentuk lain yang menyatakan fakta atau peristiwa atau selainnya merakamkan maklumat, termasuklah kertas, dokumen, daftar, bahan bercetak, buku, peta, pelan, lukisan, gambar foto, mikrofilem, filem sinematografi, rakaman bunyi, rekod yang dihasilkan secara elektronik tanpa mengira bentuk atau ciri-ciri fizikal dan apa-apa salinannya”.

6.      Hukuman Dan Tindakan
   Hukuman boleh diertikan sebagai kuasa mengenakan hukuman bagi sesuatu salah laku. Tindakan pula adalah langkah yg diambil untuk mengelakkan atau mengatasi sesuatu.Peraturan 4, dalam Peraturan-Peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah ) 1959, Guru Besar adalah orang yang bertanggungjawab keatas hukuman dan tindakan disiplin di sekolah dan beliau mempunyai kuasa ke atas guru-guru dan murid-murid di sekolah itu.Walau bagaimana pun, di bawah peraturan-peraturan tersebut Guru Besar diperuntukkan untuk menurunkan kuasa disiplin dan kuasa menjalankan hukuman kepada guru-guru lain yang ditetapkan olehnya bagi maksud itu dan dalam menurunkan kuasa itu tertakluk kepada syarat-syarat atau had-had yang difikirkannya patut.

7.      Program Berkaitan Pengurusan Tingkah Laku Disiplin
Pelaksanaan program-program mengatasi masalah disiplin merupakan salah satu inisiatif pihak sekolah untuk mengawal disiplin pelajar di sekolah.Walau bagaimanapun,program-program ini tidak akan mencapai objektifnya jika pelajar tidak menghayati mesej-mesej yang disampaikan dalam program tersebut. Untuk memastikan masalah disiplin di kalangan pelajar ini dibincangkan bersama ibu bapa.Kementerian Pendidikan telah mengeluarkan surat bertajuk “Masalah Salahlaku Murid dijadikan Agenda Tetap Mesyuarat Agung dan Mesyuarat Jawatankuasa Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG).Surat tersebut juga mencadangkan agar PIBG menubuhkan satu jawatankuasa kecil khas untuk tujuan ini.

RUMUSAN
     Bidang pendidikan merupakan antara bidang yang penting dalam sesebuah negara. Pembangunan pendidikan tidak dapat lari daripada pembangunan murid itu sendiri kerana murid atau murid merupakan subjek sepada pendidikan itu. Dalam hal ini, faktor pengurusan tingkah laku murid harus diambil berat kerana murid perlu dikawal selia bagi memastikan sahsiah diri mereka tetap dijaga apabila mereka meningkat dewasa.

No comments:

Post a Comment

BAB 1: SOSIOLOGI DALAM PENDIDIKAN

PENGENALAN ⇒ Sosiologi adalah kajian saintifik mengenai manusia dan interaksi sosial manusia dalam pelbagai aspek. ⇒ Tujuan utama ...